Thursday, October 28, 2010

Epilog Silam

Dalam mengenang kisah hidup silam
Ku sedar dari kesilapan lalu
Tuhan beratnya dosa-dosaku
Masihkah ada ampunan buatku

Tuhan...Dalam menempuh hidup ini
Banyaknya dugaan datang menguji
Tuhan...Ada yang dapatku gagahi
Dan ada yang gagal kuhindari

Tuhan...Dosaku menggunung tinggi
Tapi taubatku tak kutepati
Tuhan...Rahmat-Mu melangit luas
Terlalu sedikit kubersyukur

Kini kukembali pada-Mu
Mengharap maghfirah dari-Mu
Mogakan terampunlah dosa-dosaku
Biarpun ujian melanda
Ku tetap berkasih pada-Mu
Kerna kuyakin kasih-Mu
Kekal tiada sudahnya...

lagu ini membawa seribu pengertian. aku meminati lagu ni kerana liriknya yang penuh bermakna. menginsafkan dan menyedarkan......

Secangkir rasa..

Satu hari aku ditanya tentang anak,

“Man, da kawin nanti kau nak anak berapa?”

“Ah, apa yang aku nak jawab ni, tiba-tiba je tanya pasal anak, biar betul mamat ni," getus hati kecilku.

“Entahlah,nak banyak taknak sikit,hehe” jawab aku berseloroh.

Ianya masih jauh buat diriku. Aku masih berkelana mendidik diri. Untuk berfikir tentang perkahwinan, oh jauh sekali. Tetapi disebabkan usia yang makin meningkat, kadang-kadang pernah jugak terpikirkan hal ni. Perkara macam ni datang dengan sendirinya. Aku tidak pernah menetapkan bahawa apabila aku berkahwin aku mesti ada anak sebab anak itu rezeki dari Allah. Jika itu bukan rezeki buat diriku, mengapa harus aku kecewa. Aku mendidik diriku supaya menerima ketentuan dengan sebaiknya. Jadilah hamba yang bersyukur. Jika kita bersyukur Allah pasti akan tambah nikmatNya kepada kita.

“Sesungguhnnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu, dan jika kamu mengingkari nikmatKu, maka sesungguhnya azabku sangat pedih” (Ibrahim :: 7)

Boleh jadi juga ianya merupakan ujian buat diriku jika aku tidak dikurniakan anak. Sebagaimana Nabi Allah yang dikurniakan anak ketika usianya yang lanjut ditambah lagi keadaan isterinya yang uzur. Kalau diikutkan logik akal tak mungkin mereka boleh mendapatkan cahaya mata dalam keadaan yang sebegitu. Ya, mungkin orang akan kata, dia tu nabi Allah, perkara camtu tak mustahil. Tapi kalau kita telusuri kisah sebenarnya, nabi Allah tu tak pernah berputus asa atas pertolongan Allah dan dia sentiasa berdoa agar dikurniakan zuriat. Hasilnya, Allah bagi dia zuriat akhirnya.

Pergantungan pada Allah tak boleh sirna. Kita mesti sentiasa yakin akan pertolongan Allah. Dalam sebuah hadis Qudsi, maksudnya “Aku merasa malu pada hambaKu yang meminta kepadaKu tetapi tak diperkenankanKu”.. Sebab itu kita mesti terus berdoa dan berdoa disamping jaga diri kita dari melakukan perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah. Kerana ianya akan menghijabkan doa kita dari diterima olehNya. Mungkin ada yang tak sedar bahawa kekuatan seseorang Muslim tu terletak pada doanya. Kuasa doa sangat kuat. Jadi, berdoalah!!

Bila aku terfikirkan tentang anak, aku merasa takut. Bukannya apa, melihat keadaan dunia masa kini yang sangat mencabar, lebih-lebih lagi apabila mengenangkan dunia yang kian menuju pengakhirannya. Zaman seperti ni akan berlaku banyak peperangan, banyak masyarakat yang rosak akhlak, sukar mendapatkan sahabat yang mengingatkan kita pada Allah, dan banyak lagi perkara yang merisaukan aku sekiranya aku dikurniakan anak pada waktu seperti ini. Ini masih belum kira fitnah dajjal. MasyaAllah, hebatnya ujian akhir zaman. Aku sendiri teragak agak, mampukah aku melalui zaman ini dengan baik. Jika aku sendiri yang sudah dewasa masih teragak agak, bagaimana pula keadaan anakku nanti. Pastinya lebih mencabar.

Aku ingin menjadi seorang bapa kerana aku nak mencontohi Luqman Al-Hakim mendidik anaknya. Aku ingin menjadi seorang suami kerana aku nak mencontohi Rasulullah yang merupakan seorang suami yang adil, romantik, memahami dan penyayang kepada isterinya. Kedua dua insan ini sangat aku kagumi. Dan aku jadikan mereka sebagai contoh ikutan dalam merentasi dunia yang penuh onak duri dan dugaan yang tak pernah kunjung padam. Moga kita sentiasa istiqamah dalam perjuangan ini. Amiin

Friday, October 22, 2010

Santapan Khayal

Seperti yang diketahui umum, heroin, ecstacy, ganja, syabu dan morfin merupakan dadah yang mengkhayalkan malah boleh menyebabkan penagihnya maut. Dadah-dadah sperti itu kita ketahui kesannya yang sangat buruk kepada sesiapa yang mengambilnya secara terlarang sehingga boleh menyebabkan penyakit yang masih tiada lagi penawarnya kini iaitu HIV dan AIDS. Namun walaupun begitu, ada golongan yang berwaspada dengan menjauhkan diri darinya dan tidak kurang juga yang menagihnya. Namun pada bicara kali ini, bukanlah dadah jenis ini yang hendak dibicarakan kerana penulisan dan artikel mengenainya sudah terlalu banyak dan ramai manusia sedar akan ancamannya.

Mungkin ada diantara kita yang sedar bahawa ada sejenis dadah turun temurun yang ramai manusia menagihnya tanpa mereka sedari. Agak-agaknya apakah dadah yang dimaksudkan? (Jangan biarkan diri anda diselubungi misteri nusantara..heheh). Dadah yang dimaksudkan disini ialah dadah yang bernama HEDONISME! Ya, HEDONISME!.

Dadah membuatkan orang yang menagihnya khayal dan tidak mempedulikan orang lain kecuali dirinya sendiri. Mereka seolah olah berada di dalam dunia ciptaannya yang penuh bahagia dan tiada sengsara (sudah pasti hakikatnya berlainan..). Bukankah mengambil dadah salah satu cara menghilangkan tekanan dan kesedihan? Kerana itulah orang yang tidak dapat mengawalnya akan musnah dibunuh dadah. Begitu juga Hedonisme (merupakan fahaman falsafah bahawa keseronokan merupakan matlamat utama dalam hidup) yang kian menular dalam kehidupan remaja masa kini. Seolah olah No Fun No life.

Mungkin kita tak sedar bahawa kita juga termasuk dalam golongan orang yang menghidap dadah jenis ini. Tentunya dadah ini sangat nikmat dan memberi keasyikan seolah olah kita sedang berada dalam dunia mimpi. We are free to do anything, have fun and joy without limit. Hedonisme membuatkan mereka yang menagihnya tidak peka dan prihatin terhadap keadaan sekitarnya dan orang-orang yang berada disekelilingnya.

Sebagai contoh, peperangan yang berlaku di Gaza. Umat Islam diseksa dan dibunuh tanpa belas dan negaranya dicabul oleh yahudi laknatullah. Hanya segelintir yang bangkit menentang dan yang selebihnya hanyut dalam dunia masing masing. Mereka seperti manusia kebanyakan, mempunyai mata, telinga malah bergerak seperti kebiasaannya namun hakikatnya mata mereka buta, telinga mereka tuli dan jasad mereka bergerak tanpa hati dan jiwa. Inilah kesan daripada dadah jenis ini yang melumpuhkan hati nurani dan kewarasan akal dalam memikirkan perkara yang lebih utama.

Lihatlah anak-anak kecil yang didedahkan dengan hiburan (hedonisme) sejak diawal usia mengenal dunia. Apabila ditanya apa cita-citanya, jawabnya saya ingin menjadi artis! Tambahan lagi,dengan wujudnya program-program realiti tv seperti idola kecil dan bintang kecil, bagaikan baja yang menyuburkan hedonism yang menyumbang kepada keruntuhan akhlak dan gejala sosial anak-anak kecil. Sabda Rasulullah s.a.w,

“ Setiap anak yang baru dilahirkan ibarat kain putih maka kedua ibu bapanyalah yang akan mencorakkan anaknya samada untuk menjadi yahudi, nasrani atau majusi(penyembah api).”

Wahai ibu bapa, tidakkah kamu kasihankan anakmu. Didiklah mereka dengan didikan yang lurus lagi benar. Ibu bapalah yang akan menentukan keperibadian anak-anaknya samada anaknya akan menjadi anak yang soleh atau sebaliknya. Janganlah terpedaya dengan kenamaan dunia, sanjungan dan penghormatan manusia yang tidak ada nilainya berbanding sanjungan dan penghormatan Allah yang lebih wajar kita kejar. Firman Allah Taala,

“ Ketahuilah bahawa penghidupan dunia ini tidak lain kecuali merupakan suatu permainan dan hiburan, perhiasan dan sombong menyombong diantara kaum dan berbanyak banyak harta benda dan anak-anak laksana hujan tumbuh-tumbuhannya menyenangkan orang-orang kafir, kemudian jadi segar lalu berubah sangat layu lalu hancur.” (Al-Hadid :: 20)

Hedonisme merupakan strategi terbaik pihak kafir menghancurkan umat Islam. Mereka menang tanpa berperang. Kita dihancurkan hanya melalui ideologi dan pemikiran mereka yang penuh tipu daya dan muslihat untuk menjatuhkan umat Islam. Mereka tidak akan berdiam diri dan tenang melihat umat Islam patuh menunaikan suruhan-Nya. Maka benarlah firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 120 yang bermaksud,

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani sekali kali tidak akan merasa redha sehingga engkau menurut agama mereka. Katakanlah sesungguhnya petunjuk Allah itu adalah petunjuk yang sebenar. Demi sesungguhnya jika kamu mengikuti keinginan mereka setelah kamu mengetahui hakikatnya, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolongmu” (Al-Baqarah :: 120)

Rasulullah s.a.w telah bersabda ;

“Daripada Abu Sa’eed radhiyallaahu ‘anhu, sesungguhnya Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: Pasti benar kamu nanti akan mengikut tatacara orang-orang sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehinggakan tatkala mereka itu masuk ke lubang biawak dhabb sekali pun, pasti kamu akan mengikut mereka”. Kami bertanya, “Ya Rasulullah, apakah (umat terdahulu) yang engkau maksudkan itu adalah Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab, “kalau bukan mereka, siapa lagi?” [Hadith riwayat al-Bukhari (3269) dan Muslim (2669)

Mereka menyogok kita dengan hiburan yang beraneka jenis seperti lagu, seks dan dadah. Mereka menampakkan keindahan perkara tersebut dan menjadikannya seperti perkara kebiasaan yang tidak punyai kesalahan jika melakukannya. Kita dilanda budaya yang jauh menyimpang dari budaya yang diterapkan oleh Islam lagi dibenarkan oleh Allah. Kemelut diri yang tiada kesudahan sehingga membawa mereka yang hanyut dengan hedonisme terjerumus ke lembah kehancuran dan kehinaan. Mereka ini telah ditipu oleh hawa nafsu mereka sendiri. Lihatlah firman Allah yang bermaksud;

“Dia cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaan seperti anjing yang kamu menghalaunya dihulurkannya lidah dan jika kamu membiarkannya ia akan menghulurkan lidahnya (juga).” (Al-A'raf :: 76)

Lihatlah betapa hinanya orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuannya. Mereka dibandingkan dengan anjing. Maka tidakkah kita merasa malu dan insaf? Ayuh kita sucikan hati dan fikiran kita dari perkara yang menjerumuskan kita kearah kehancuran. Bersama sama bermujahadah menempuh jalan yang pastinya susah kerana mujahadah tidak pernah mudah. Hanya mereka yang mengikhlaskan diri dalam beribadah, berjiwa qanaah dan beristiqamah sahaja yang akan berdiri gagah diatas jalan Allah ini.

“Kemudian sampaikanlah khabar gembira bagi orang yang beriman dan beramal soleh, bahawa bagi mereka syurga-syurga yang dihiasi oleh sungai-sungai yang mengalir. Setiap kali meraka mendapat rezeki dari buah buahan di dalam syurga, mereka mengatakan,”rezeki ini adalah rezeki yang telah diberikan kepada kami sebelum ini, mereka mendapat rezeki yang serupa (tetapi berlainan hhakikatnya). Mereka juga disediakan isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, dan mereka kekal didalamnya selama lamanya.” (Al-Baqarah :: 25)

Bersihkanlah hati kerana jika bersih hati maka bersihlah diri. Ini kerana hati merupakan raja dalam diri manusia. Apabila baik raja, maka pasti baik juga rakyatnya. Perbetulkanlah “raja” itu dahulu nescaya yang lain akan ikut sama. Ini kerana;

“ingatlah sesungguhnya didalam jasad manusia ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad. Dan apabila ia rosak, rosaklah seluruh jasad. Ingat ia adalah hati” (Rawahul Bukhari wa Muslim)

Hati dapat dibersihkan melalui;

I. Sentiasa mengingati Allah melalui zikir dan bacaan Al-Quran

II. Memperbanyakkan ibadat-ibadat sunat

III. Mengenal maksud hati, kekuatan dan kelemahannya

IV. Mencari keaiban diri

V. Berusaha melaksanakan sifat-sifat mahmudah (baik)

VI. Bertaubat dari dosa lahir dan batin

VII. Sabar dengan ujian Allah

VIII. Bersikap pemurah

IX. Takut dan harap pada Allah

X. Zuhud terhadap dunia

XI. Ikhlas

XII. Selalu mengingati mati

XIII. Bersyukur dengan nikmat yang ada (hati,lisan dan perbuatan)

XIV. Tawakal atas ketentuan Allah

XV. Melawan nafsu dan syaitan

XVI. Menyedari dan menghindari racun mazmumah

XVII. Membersihkan diri dari sifat sombong, riak, ujub dan hasad dengk

XVIII. Membersihkan diri dari sifat pemarah, kuat makan, mengumpat dan panjang angan-angan

InsyaAllah jika kita bersungguh dan ikhlas kerana Allah untuk menjadi muslim yang beriman dan bertaqwa, pasti Allah akan mempermudahkan jalannya bagi kita. Moga-moga dengan bicara kali ini dapat menyuburkan kembali hati yang gersang dan sekaligus membangkitkan kita dari khayalan hedonisme. Iza kana ‘umri baqian saufa nuqabil, InsyaAllah. Assalamualaikum w.b.t

Tuesday, October 19, 2010

Sahaja Aku....

Emm, macam mana nak mulakan ye..Baiklah, begini, setiap perkara yang kita lakukan mestilah mempunyai niat. Kenapa perlu berniat? Tak boleh ke kalau kita buat je tanpa niat? Penting ke niat tu? Mungkin inilah persoalan yang timbul difikiran anda kan? Ya,niat memang sangat penting dalam kehidupan seorang yang bergelar Muslim kerana niat akan MEMBEZAKAN ANTARA AMALAN IBADAT DAN AMALAN KEBIASAAN. Setiap amalan yang kita buat akan dinilai melalui niat yang kita niatkan. Mungkin kadang-kadang kita buat sesuatu amalan tanpa berniat kerana ianya sudah jadi satu amalan kebiasaan yang pada pandangan kita mungkin sesuatu yang kita tak perlu niatkan. Contohnya, apabila kita mandi, buang air, bersenam, berjalan, tolong orang, makan, minum dan sebagainya. Pada pandangan orang kebanyakan, perkara sebegitu tak perlu diniatkan. Sebab apa? Sebabnya ia sekadar AMALAN KEBIASAAN!

Sebelum saya meneruskan perkongsian ini, saya ingin menerangkan definisi niat itu dahulu. Sebelum kita tersilap faham, niat bukanlah seperti yang dibayangkan oleh sesetengah pihak iaitu ucapan di lidah “sengaja aku berniat sekian dan sekian..”. Sama sekali tidak. Itu hanyalah ucapan lidah, belum tentu mewakili tujuan sebenar. Niat juga bukan perkataan yang di atur dalam minda yang menyebab ramai orang yang tidak faham berulang kali kononnya melafazkan ‘niat’, sehingga terganggu solat, puasa, iktikaf dan seumpamanya.

Niat adalah keazaman seseorangan untuk melakukan sesuatu tindakan. Dalamnya merangkumi segala yang tersirat di sebalik sesuatu perbuatan. Tepat bak kata tokoh ilmuwan terkenal al-Hafiz Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H):

“Niat ialah tujuan dan azam melakukan sesuatu. Tempatnya di hati. Tiada kaitan dengan lidah sama sekali.

Niat dan lafaz niat adalah dua perkara yang berbeza. Pandangan kebanyakan orang, perkara yang perlu diniatkan ialah bila kita bersolat, berpuasa, dan mandi hadas. Tapi tahu tak anda, bahawa anda sebenarnya mampu mengaut keuntungan pahala berganda hanya dengan berniat melalui amalan kebiasaan yang sering anda lakukan! (hehe,macam ejen jualan MLM je..).. Saya bagi anda contoh,

“sahaja aku mandi untuk membersihkan diri dan menyegarkan badan kerana Allah”

“sahaja aku makan dan minum untuk memperoleh kesihatan badan kerana Allah”

“sahaja aku bersenam untuk menyihatkan badan kerana Allah”

(Adeh, panjangnya..susahlah nak niat kalau camtu)..takpe,kita pendekkan..

Sesuatu amalan yang anda lakukan niatkan “lillahi taala”..(mudah bukan??)

Apabila anda melakukan sesuatu kerana Allah, maka ianya dikira sebagai satu amalan yang memberi anda pahala dan secara tak langsung anda akan memperoleh apa yang anda niatkan. Jom kita lihat apa kata junjungan mulia Nabi kita Muhammad s.a.w :

Dari Umar r.a beliau berkata :

“saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : “Sesungguhnya segala amalan hanyalah (sah atau sempurna) dengan niat. Sesungguhnya untuk setiap orang hanyalah apa yang dia niatkan. Oleh itu sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang hijrahnya kerana dunia dan perempuan yang akan dikahwininya, maka hijrahnya adalah kepada tujuan dia berhijrah tersebut”

(muttafaqun alaih)

Dengan berniat kita akan dapat apa yang kita niatkan dan sekaligus akan menyempurnakan amalan yang akan kita lakukan. Imam Bukhari memulakan kitab Sahih beliau dengan hadis ini, dan beliau menjadikannya sebagai mukaddimah kepada kitabnya itu. Ia sebagai petunjuk daripada al-Bukhari bahawa setiap amalan yang tidak bermaksudkan keredhaan Allah adalah amalan yang sia-sia dan tidak mempunyai ganjaran didunia mahupun akhirat. (Wah, pentingnya niat kan?).. Imam As-Syafi’i pernah berkata : Hadis ini (hadis diatas) merupakan satu pertiga ilmu, dan ia masuk ke dalam 70 bab fiqh. (Subhanallah, niat ni nampak kecil, tapi besar peranannya kan..)

Dalam kehidupan kita hari ini, niat kelihatannya tidaklah begitu dipentingkan dan yang lebih diutamakan hanyalah matlamat atau hasil daripada usaha yang dilaksanakan. Sedangkan pada hakikatnya yang diterima dan dinilai di sisi Allah ialah apa yang diniatkan dalam hati. Maka dengan demikian, kita dapat melihat betapa sebahagian kita sanggup melakukan apa sahaja meskipun melanggar batasan syarak, demi memperoleh keuntungan duniawi. Misalnya, pemerolehan sumber pendapatan atau kekayaan tidak dihadkan hanya semata-mata melalui cara yang digariskan oleh syarak dan diredai Allah s.w.t. Begitu juga dengan pangkat atau kedudukan, kuasa, pengaruh dan sebagainya. Apa jua cara yang membolehkan ia diraih, akan diusahakan sehabis daya, walaupun melalui penipuan, penindasan, kezaliman dan penganiayaan terhadap orang lain. Malah, tanpa segan-silu diisytiharkan pula bahawa segala usaha yang digembleng dengan penuh kesungguhan itu hanya dengan tujuan serta niat yang besar; demi agama, bangsa dan negara. Sedangkan jauh di sudut hati, diketahui tujuan dan matlamat sebenar yang dicita-citakan, iaitu semata-mata demi kepentingan diri, kemasyhuran atau untuk meraih pujian.

Kesimpulannya, marilah kita bersama-sama memperbaiki niat dan mengikhlaskan niat kita. Lakukanlah sesuatu kerana Allah nescaya amalanmu tak sia-sia. Sesuai dengan kedudukan niat sebagai salah satu daripada tiga bahagian Islam, sebagaimana dikatakan oleh Imam Shafi`e dan imam-imam yang lain r.h., maka ia perlulah diberikan perhatian yang sebaik-baiknya dalam setiap amal, perbuatan dan tindakan yang dilaksanakan. Ini penting bagi memastikan setiap usaha dan amalan yang dilaksanakan bukanlah dengan sia-sia sahaja, yakni tidak dinilai di sisi Allah serta hanya menepati apa yang diingini atau diniatkan sahaja. Begitu besarnya peranan niat turut dapat dilihat dalam sebuah lagi Hadith, khususnya apabila ia digandingkan dengan jihad. "Tiada lagi hijrah sesudah pembebasan (Makkah) tetapi yang ada ialah jihad serta niat dan apabila diperintahkan supaya kamu keluar, maka keluarlah." (Muttafaq `Alaih) Dalam menjelaskan maksud Hadith ini, Imam Nawawi mengatakan, "Keburukan yang tamat dengan terhapusnya hukum hijrah dapat dihasilkan dengan jihad dan niat yang baik. Apabila kamu diperintahkan oleh pemimpin kamu supaya keluar untuk berjihad dan melaksanakan amal yang baik, maka hendaklah kamu keluar."