Tuesday, October 19, 2010

Sahaja Aku....

Emm, macam mana nak mulakan ye..Baiklah, begini, setiap perkara yang kita lakukan mestilah mempunyai niat. Kenapa perlu berniat? Tak boleh ke kalau kita buat je tanpa niat? Penting ke niat tu? Mungkin inilah persoalan yang timbul difikiran anda kan? Ya,niat memang sangat penting dalam kehidupan seorang yang bergelar Muslim kerana niat akan MEMBEZAKAN ANTARA AMALAN IBADAT DAN AMALAN KEBIASAAN. Setiap amalan yang kita buat akan dinilai melalui niat yang kita niatkan. Mungkin kadang-kadang kita buat sesuatu amalan tanpa berniat kerana ianya sudah jadi satu amalan kebiasaan yang pada pandangan kita mungkin sesuatu yang kita tak perlu niatkan. Contohnya, apabila kita mandi, buang air, bersenam, berjalan, tolong orang, makan, minum dan sebagainya. Pada pandangan orang kebanyakan, perkara sebegitu tak perlu diniatkan. Sebab apa? Sebabnya ia sekadar AMALAN KEBIASAAN!

Sebelum saya meneruskan perkongsian ini, saya ingin menerangkan definisi niat itu dahulu. Sebelum kita tersilap faham, niat bukanlah seperti yang dibayangkan oleh sesetengah pihak iaitu ucapan di lidah “sengaja aku berniat sekian dan sekian..”. Sama sekali tidak. Itu hanyalah ucapan lidah, belum tentu mewakili tujuan sebenar. Niat juga bukan perkataan yang di atur dalam minda yang menyebab ramai orang yang tidak faham berulang kali kononnya melafazkan ‘niat’, sehingga terganggu solat, puasa, iktikaf dan seumpamanya.

Niat adalah keazaman seseorangan untuk melakukan sesuatu tindakan. Dalamnya merangkumi segala yang tersirat di sebalik sesuatu perbuatan. Tepat bak kata tokoh ilmuwan terkenal al-Hafiz Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H):

“Niat ialah tujuan dan azam melakukan sesuatu. Tempatnya di hati. Tiada kaitan dengan lidah sama sekali.

Niat dan lafaz niat adalah dua perkara yang berbeza. Pandangan kebanyakan orang, perkara yang perlu diniatkan ialah bila kita bersolat, berpuasa, dan mandi hadas. Tapi tahu tak anda, bahawa anda sebenarnya mampu mengaut keuntungan pahala berganda hanya dengan berniat melalui amalan kebiasaan yang sering anda lakukan! (hehe,macam ejen jualan MLM je..).. Saya bagi anda contoh,

“sahaja aku mandi untuk membersihkan diri dan menyegarkan badan kerana Allah”

“sahaja aku makan dan minum untuk memperoleh kesihatan badan kerana Allah”

“sahaja aku bersenam untuk menyihatkan badan kerana Allah”

(Adeh, panjangnya..susahlah nak niat kalau camtu)..takpe,kita pendekkan..

Sesuatu amalan yang anda lakukan niatkan “lillahi taala”..(mudah bukan??)

Apabila anda melakukan sesuatu kerana Allah, maka ianya dikira sebagai satu amalan yang memberi anda pahala dan secara tak langsung anda akan memperoleh apa yang anda niatkan. Jom kita lihat apa kata junjungan mulia Nabi kita Muhammad s.a.w :

Dari Umar r.a beliau berkata :

“saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : “Sesungguhnya segala amalan hanyalah (sah atau sempurna) dengan niat. Sesungguhnya untuk setiap orang hanyalah apa yang dia niatkan. Oleh itu sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang hijrahnya kerana dunia dan perempuan yang akan dikahwininya, maka hijrahnya adalah kepada tujuan dia berhijrah tersebut”

(muttafaqun alaih)

Dengan berniat kita akan dapat apa yang kita niatkan dan sekaligus akan menyempurnakan amalan yang akan kita lakukan. Imam Bukhari memulakan kitab Sahih beliau dengan hadis ini, dan beliau menjadikannya sebagai mukaddimah kepada kitabnya itu. Ia sebagai petunjuk daripada al-Bukhari bahawa setiap amalan yang tidak bermaksudkan keredhaan Allah adalah amalan yang sia-sia dan tidak mempunyai ganjaran didunia mahupun akhirat. (Wah, pentingnya niat kan?).. Imam As-Syafi’i pernah berkata : Hadis ini (hadis diatas) merupakan satu pertiga ilmu, dan ia masuk ke dalam 70 bab fiqh. (Subhanallah, niat ni nampak kecil, tapi besar peranannya kan..)

Dalam kehidupan kita hari ini, niat kelihatannya tidaklah begitu dipentingkan dan yang lebih diutamakan hanyalah matlamat atau hasil daripada usaha yang dilaksanakan. Sedangkan pada hakikatnya yang diterima dan dinilai di sisi Allah ialah apa yang diniatkan dalam hati. Maka dengan demikian, kita dapat melihat betapa sebahagian kita sanggup melakukan apa sahaja meskipun melanggar batasan syarak, demi memperoleh keuntungan duniawi. Misalnya, pemerolehan sumber pendapatan atau kekayaan tidak dihadkan hanya semata-mata melalui cara yang digariskan oleh syarak dan diredai Allah s.w.t. Begitu juga dengan pangkat atau kedudukan, kuasa, pengaruh dan sebagainya. Apa jua cara yang membolehkan ia diraih, akan diusahakan sehabis daya, walaupun melalui penipuan, penindasan, kezaliman dan penganiayaan terhadap orang lain. Malah, tanpa segan-silu diisytiharkan pula bahawa segala usaha yang digembleng dengan penuh kesungguhan itu hanya dengan tujuan serta niat yang besar; demi agama, bangsa dan negara. Sedangkan jauh di sudut hati, diketahui tujuan dan matlamat sebenar yang dicita-citakan, iaitu semata-mata demi kepentingan diri, kemasyhuran atau untuk meraih pujian.

Kesimpulannya, marilah kita bersama-sama memperbaiki niat dan mengikhlaskan niat kita. Lakukanlah sesuatu kerana Allah nescaya amalanmu tak sia-sia. Sesuai dengan kedudukan niat sebagai salah satu daripada tiga bahagian Islam, sebagaimana dikatakan oleh Imam Shafi`e dan imam-imam yang lain r.h., maka ia perlulah diberikan perhatian yang sebaik-baiknya dalam setiap amal, perbuatan dan tindakan yang dilaksanakan. Ini penting bagi memastikan setiap usaha dan amalan yang dilaksanakan bukanlah dengan sia-sia sahaja, yakni tidak dinilai di sisi Allah serta hanya menepati apa yang diingini atau diniatkan sahaja. Begitu besarnya peranan niat turut dapat dilihat dalam sebuah lagi Hadith, khususnya apabila ia digandingkan dengan jihad. "Tiada lagi hijrah sesudah pembebasan (Makkah) tetapi yang ada ialah jihad serta niat dan apabila diperintahkan supaya kamu keluar, maka keluarlah." (Muttafaq `Alaih) Dalam menjelaskan maksud Hadith ini, Imam Nawawi mengatakan, "Keburukan yang tamat dengan terhapusnya hukum hijrah dapat dihasilkan dengan jihad dan niat yang baik. Apabila kamu diperintahkan oleh pemimpin kamu supaya keluar untuk berjihad dan melaksanakan amal yang baik, maka hendaklah kamu keluar."

No comments:

Post a Comment