Friday, October 22, 2010

Santapan Khayal

Seperti yang diketahui umum, heroin, ecstacy, ganja, syabu dan morfin merupakan dadah yang mengkhayalkan malah boleh menyebabkan penagihnya maut. Dadah-dadah sperti itu kita ketahui kesannya yang sangat buruk kepada sesiapa yang mengambilnya secara terlarang sehingga boleh menyebabkan penyakit yang masih tiada lagi penawarnya kini iaitu HIV dan AIDS. Namun walaupun begitu, ada golongan yang berwaspada dengan menjauhkan diri darinya dan tidak kurang juga yang menagihnya. Namun pada bicara kali ini, bukanlah dadah jenis ini yang hendak dibicarakan kerana penulisan dan artikel mengenainya sudah terlalu banyak dan ramai manusia sedar akan ancamannya.

Mungkin ada diantara kita yang sedar bahawa ada sejenis dadah turun temurun yang ramai manusia menagihnya tanpa mereka sedari. Agak-agaknya apakah dadah yang dimaksudkan? (Jangan biarkan diri anda diselubungi misteri nusantara..heheh). Dadah yang dimaksudkan disini ialah dadah yang bernama HEDONISME! Ya, HEDONISME!.

Dadah membuatkan orang yang menagihnya khayal dan tidak mempedulikan orang lain kecuali dirinya sendiri. Mereka seolah olah berada di dalam dunia ciptaannya yang penuh bahagia dan tiada sengsara (sudah pasti hakikatnya berlainan..). Bukankah mengambil dadah salah satu cara menghilangkan tekanan dan kesedihan? Kerana itulah orang yang tidak dapat mengawalnya akan musnah dibunuh dadah. Begitu juga Hedonisme (merupakan fahaman falsafah bahawa keseronokan merupakan matlamat utama dalam hidup) yang kian menular dalam kehidupan remaja masa kini. Seolah olah No Fun No life.

Mungkin kita tak sedar bahawa kita juga termasuk dalam golongan orang yang menghidap dadah jenis ini. Tentunya dadah ini sangat nikmat dan memberi keasyikan seolah olah kita sedang berada dalam dunia mimpi. We are free to do anything, have fun and joy without limit. Hedonisme membuatkan mereka yang menagihnya tidak peka dan prihatin terhadap keadaan sekitarnya dan orang-orang yang berada disekelilingnya.

Sebagai contoh, peperangan yang berlaku di Gaza. Umat Islam diseksa dan dibunuh tanpa belas dan negaranya dicabul oleh yahudi laknatullah. Hanya segelintir yang bangkit menentang dan yang selebihnya hanyut dalam dunia masing masing. Mereka seperti manusia kebanyakan, mempunyai mata, telinga malah bergerak seperti kebiasaannya namun hakikatnya mata mereka buta, telinga mereka tuli dan jasad mereka bergerak tanpa hati dan jiwa. Inilah kesan daripada dadah jenis ini yang melumpuhkan hati nurani dan kewarasan akal dalam memikirkan perkara yang lebih utama.

Lihatlah anak-anak kecil yang didedahkan dengan hiburan (hedonisme) sejak diawal usia mengenal dunia. Apabila ditanya apa cita-citanya, jawabnya saya ingin menjadi artis! Tambahan lagi,dengan wujudnya program-program realiti tv seperti idola kecil dan bintang kecil, bagaikan baja yang menyuburkan hedonism yang menyumbang kepada keruntuhan akhlak dan gejala sosial anak-anak kecil. Sabda Rasulullah s.a.w,

“ Setiap anak yang baru dilahirkan ibarat kain putih maka kedua ibu bapanyalah yang akan mencorakkan anaknya samada untuk menjadi yahudi, nasrani atau majusi(penyembah api).”

Wahai ibu bapa, tidakkah kamu kasihankan anakmu. Didiklah mereka dengan didikan yang lurus lagi benar. Ibu bapalah yang akan menentukan keperibadian anak-anaknya samada anaknya akan menjadi anak yang soleh atau sebaliknya. Janganlah terpedaya dengan kenamaan dunia, sanjungan dan penghormatan manusia yang tidak ada nilainya berbanding sanjungan dan penghormatan Allah yang lebih wajar kita kejar. Firman Allah Taala,

“ Ketahuilah bahawa penghidupan dunia ini tidak lain kecuali merupakan suatu permainan dan hiburan, perhiasan dan sombong menyombong diantara kaum dan berbanyak banyak harta benda dan anak-anak laksana hujan tumbuh-tumbuhannya menyenangkan orang-orang kafir, kemudian jadi segar lalu berubah sangat layu lalu hancur.” (Al-Hadid :: 20)

Hedonisme merupakan strategi terbaik pihak kafir menghancurkan umat Islam. Mereka menang tanpa berperang. Kita dihancurkan hanya melalui ideologi dan pemikiran mereka yang penuh tipu daya dan muslihat untuk menjatuhkan umat Islam. Mereka tidak akan berdiam diri dan tenang melihat umat Islam patuh menunaikan suruhan-Nya. Maka benarlah firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 120 yang bermaksud,

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani sekali kali tidak akan merasa redha sehingga engkau menurut agama mereka. Katakanlah sesungguhnya petunjuk Allah itu adalah petunjuk yang sebenar. Demi sesungguhnya jika kamu mengikuti keinginan mereka setelah kamu mengetahui hakikatnya, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolongmu” (Al-Baqarah :: 120)

Rasulullah s.a.w telah bersabda ;

“Daripada Abu Sa’eed radhiyallaahu ‘anhu, sesungguhnya Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: Pasti benar kamu nanti akan mengikut tatacara orang-orang sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehinggakan tatkala mereka itu masuk ke lubang biawak dhabb sekali pun, pasti kamu akan mengikut mereka”. Kami bertanya, “Ya Rasulullah, apakah (umat terdahulu) yang engkau maksudkan itu adalah Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab, “kalau bukan mereka, siapa lagi?” [Hadith riwayat al-Bukhari (3269) dan Muslim (2669)

Mereka menyogok kita dengan hiburan yang beraneka jenis seperti lagu, seks dan dadah. Mereka menampakkan keindahan perkara tersebut dan menjadikannya seperti perkara kebiasaan yang tidak punyai kesalahan jika melakukannya. Kita dilanda budaya yang jauh menyimpang dari budaya yang diterapkan oleh Islam lagi dibenarkan oleh Allah. Kemelut diri yang tiada kesudahan sehingga membawa mereka yang hanyut dengan hedonisme terjerumus ke lembah kehancuran dan kehinaan. Mereka ini telah ditipu oleh hawa nafsu mereka sendiri. Lihatlah firman Allah yang bermaksud;

“Dia cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaan seperti anjing yang kamu menghalaunya dihulurkannya lidah dan jika kamu membiarkannya ia akan menghulurkan lidahnya (juga).” (Al-A'raf :: 76)

Lihatlah betapa hinanya orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuannya. Mereka dibandingkan dengan anjing. Maka tidakkah kita merasa malu dan insaf? Ayuh kita sucikan hati dan fikiran kita dari perkara yang menjerumuskan kita kearah kehancuran. Bersama sama bermujahadah menempuh jalan yang pastinya susah kerana mujahadah tidak pernah mudah. Hanya mereka yang mengikhlaskan diri dalam beribadah, berjiwa qanaah dan beristiqamah sahaja yang akan berdiri gagah diatas jalan Allah ini.

“Kemudian sampaikanlah khabar gembira bagi orang yang beriman dan beramal soleh, bahawa bagi mereka syurga-syurga yang dihiasi oleh sungai-sungai yang mengalir. Setiap kali meraka mendapat rezeki dari buah buahan di dalam syurga, mereka mengatakan,”rezeki ini adalah rezeki yang telah diberikan kepada kami sebelum ini, mereka mendapat rezeki yang serupa (tetapi berlainan hhakikatnya). Mereka juga disediakan isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, dan mereka kekal didalamnya selama lamanya.” (Al-Baqarah :: 25)

Bersihkanlah hati kerana jika bersih hati maka bersihlah diri. Ini kerana hati merupakan raja dalam diri manusia. Apabila baik raja, maka pasti baik juga rakyatnya. Perbetulkanlah “raja” itu dahulu nescaya yang lain akan ikut sama. Ini kerana;

“ingatlah sesungguhnya didalam jasad manusia ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad. Dan apabila ia rosak, rosaklah seluruh jasad. Ingat ia adalah hati” (Rawahul Bukhari wa Muslim)

Hati dapat dibersihkan melalui;

I. Sentiasa mengingati Allah melalui zikir dan bacaan Al-Quran

II. Memperbanyakkan ibadat-ibadat sunat

III. Mengenal maksud hati, kekuatan dan kelemahannya

IV. Mencari keaiban diri

V. Berusaha melaksanakan sifat-sifat mahmudah (baik)

VI. Bertaubat dari dosa lahir dan batin

VII. Sabar dengan ujian Allah

VIII. Bersikap pemurah

IX. Takut dan harap pada Allah

X. Zuhud terhadap dunia

XI. Ikhlas

XII. Selalu mengingati mati

XIII. Bersyukur dengan nikmat yang ada (hati,lisan dan perbuatan)

XIV. Tawakal atas ketentuan Allah

XV. Melawan nafsu dan syaitan

XVI. Menyedari dan menghindari racun mazmumah

XVII. Membersihkan diri dari sifat sombong, riak, ujub dan hasad dengk

XVIII. Membersihkan diri dari sifat pemarah, kuat makan, mengumpat dan panjang angan-angan

InsyaAllah jika kita bersungguh dan ikhlas kerana Allah untuk menjadi muslim yang beriman dan bertaqwa, pasti Allah akan mempermudahkan jalannya bagi kita. Moga-moga dengan bicara kali ini dapat menyuburkan kembali hati yang gersang dan sekaligus membangkitkan kita dari khayalan hedonisme. Iza kana ‘umri baqian saufa nuqabil, InsyaAllah. Assalamualaikum w.b.t

No comments:

Post a Comment